Sunday 29 December 2019

Program Sarapan Pagi (PSP) Fasa Pertama 2020


Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama tahun 2020 akan dilaksanakan mulai 20 Januari 2020 melibatkan 100 buah sekolah daripada dari seluruh negara dengan lebih kurang 37,000 orang murid dan 1,600 orang guru bertugas setiap hari.
Kos pelaksanaan fasa pertama program ini dianggarkan sebanyak RM22 juta. Pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu
makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu/minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.


Waktu pelaksanaan PSP adalah antara jam 7.00 hingga 8.30 pagi bagi persekolahan semi pagi dan jam 1.00 hingga 4.00 petang bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah.
Pemilihan 100 buah sekolah dalam pelaksanaan fasa pertama dilaksanakan berdasarkan kepada keutamaan yang diberikan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai peratus tertinggi murid dari golongan B40 di setiap negeri dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu
SK, SJKC, dan SJKT.


Pemilihan sekolah juga adalah berkadar dengan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman.
Pelaksanaan ini juga turut mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah memperuntukkan seorang
Pegawai Sains Pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah berkaitan menu PSP.
Walau bagaimanapun, kebenaran daripada ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti
alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan.
Pihak KPM juga sedang merancang supaya program ini diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat members manfaat
kepada kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara dan ini adalah bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.
Pemantauan secara berterusan akan dilaksanakan oleh KPM dengan kerjasama KKM supaya makanan yang dibekalkan adalah berkualiti kepada murid-murid bagi mencapai impak yang disasarkan. Kajian keberkesanan program akan dilaksanakan dan akan dibentangkan untuk tujuan penambahbaikan program dari semasa ke semasa.
PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaharu KPM untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan
pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

No comments:

Post a Comment

PENGESAHAN KEHADIRAN IBU BAPA KE MESYUARAT AGUNG PIBG 2020

Salam ibu bapa/ penjaga yang dihormati. Mengikut sistem e-sarana, sekolah kita mempuyai 930 keluarga. PERHATIAN. Sila sahkan kehadiran anda ...